Kredit Komuniti ‘madu beracun’ untuk rakyat

0
2
KUALA LUMPUR 13 OGOS 2018. Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Senator Datuk Ar. Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berucap ketika merasmikan pameran “My Hse Malaysian Future Housing” di Pusat Membeli-belah Damansara City. NSTP/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.

SKIM Kredit Komuniti didakwa sebagai cadangan tidak bertanggungjawab kerajaan dalam menyalurkan bantuan untuk rakyat yang mengalami kesempitan hidup.

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, berkata skim pinjaman itu tidak ubah umpama ‘memberi manisan beracun’ kepada rakyat dalam tempoh waktu sukar ini.

Beliau berkata, skim pinjaman yang berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu umpama memberi pesakit makan ‘ubat’ yang mempunyai alahan.

“Ia akan menyebabkan pesakit akan menjadi lebih sakit atau tenat apabila makan ubat tersebut kerana reaksi alahan yang teruk. Penawar itu lebih teruk daripada penyakit.

“Mana tidak kalau dengan kadar faedah biasa sekitar antara 5% hingga 7.5% pun rakyat sudah merana teruk.

“Bagaimana pula mereka hendak membayar pinjaman kadar faedah antara 12% hingga 18% semasa dalam keadaan ekonomi gawat dan tiada kerja kerana Covid 19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raja Kamarul Bahrin berkata, kaedah itu bukan untuk membantu rakyat sebaliknya memberi keuntungan lumayan kepada syarikat peminjam wang berkenaan yang mengambil kesempatan daripada kesempitan peminjam.

“Cadangan Kredit Komuniti merupakan madu yang beracun yang akan menambahkan bebanan dan kesengsaraan rakyat. Kalau begitu keadaannya baik sahaja nama Kredit Komuniti di tukar kepada ‘Kredit Tidak-berhati’.

Menurut Raja Kamarul Bahrin, keadaan ini berlaku kerana Kerajaan PN mendahulukan ego dan bukan ilmu kepakaran profesional.

“Rakyat golongan B40 dan M40 amat memerlukan bantuan kewangan dan bukan idea separuh masak pinjaman yang akan menambah bebanan rakyat.

“Kerana itulah Parlimen perlu dibuka supaya soal bantuan ini boleh dibahaskan dan bukan menyuruh rakyat mengambil pinjaman Kredit Komuniti yang menghisap darah,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan bersetuju membenarkan sektor Kredit Komuniti (KK) atau Pemberi Pinjam Wang (PPW) yang berdaftar bawah KPKT untuk beroperasi berkuat kuasa serta-merta.

KPKT dalam kenyataan memaklumkan persetujuan itu dicapai susulan Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Jun lalu.

Katanya, KK adalah sektor yang ke-13 disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu bawah Kluster Kerajaan Tempatan dalam sistem Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here