60 ditahan sedang berhibur di pusat hiburan bawah tanah

0
2

POLIS menyerbu pusat hiburan bawah tanah di sebuah hotel di ibu negara dan menahan 60 individu, malam tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, semua yang ditahan dalam serbuan jam 9.30 malam itu, membabitkan warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 43 tahun termasuk 23 wanita.

“Tangkapan itu membabitkan seorang penjaga kaunter, 12 pekerja serta 47 pengunjung terdiri daripada 29 lelaki dan 18 wanita.

“Pelbagai barang dirampas antaranya resit perniagaan, komputer riba, peralatan judi, kerusi dan meja selain botol minuman keras,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nasri berkata, siasatan awal mendapati pengunjung pusat hiburan berkenaan mula memasuki premis di tingkat bawah tanah itu seawal jam 1 petang.

Beliau berkata, premis berkenaan dikesan beroperasi bermula jam 2 petang sehingga 10 malam dan ketika serbuan dilakukan pusat hiburan itu baru beroperasi sejak tiga hari lalu selepas selesai ubah suai.

“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan, Seksyen 76 Akta Eksais, Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto Berita Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here