BUAT pertama kali kerajaan mengumumkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau PKP menyeluruh tanpa menyatakan tarikh akhir ia berkuat kuasa.
Ketika mengumumkan pelanjutan itu hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata fasa 1 PKP menyeluruh dikekalkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga tiga indikator nilai ambang utama dicapai.
Tiga indikator itu, katanya, ialah purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada paras sederhana serta kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.
“Justeru itu, peralihan daripada fasa satu ke fasa dua akan mengambil kira ketiga-tiga indikator itu sebelum ia diputuskan.
“Secara keseluruhan, PPN adalah strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik Covid-19 yang merangkumi empat fasa melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.
“Berdasarkan penilaian risiko dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan akan mengekalkan lagi tempoh Fasa 1 di seluruh negara seperti diumumkan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin),” katanya menerusi kenyataan.
Ismail Sabri berkata perkara itu diambil mengambil kira situasi semasa ketika ini yang masih belum berjaya untuk beralih dari fasa satu ke fasa dua apabila graf jumlah kes positif baharu harian menunjukkan trend mendatar.
PKP menyeluruh mula dikuatkuasakan pada 1 hingga 14 Jun lalu sebelum dilanjutkan mulai 15 Jun hingga esok. – Malaysiapost

