DESAS-DESUS doktor perubatan lantikan secara kontrak bakal mengadakan mogok tidak lama lagi, tidak boleh dipandang ringan kerajaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kekecewaan golongan itu berasas kerana nasib mereka seperti tidak mendapat perhatian kerajaan sewajarnya meskipun bertungkus lumus memerangi Covid-19 sejak lebih setahun lalu.
Katanya, perkara itu telah disuarakan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang bimbang kegagalan kerajaan menguruskan aspek sumber manusia akan merencatkan pembangunan sektor kesihatan negara.
“Kekecewaan mereka berasas. MMA bangkit isu doktor kontrak. Mereka kerja tungkus lumus tanpa rehat sepanjang tempoh pandemik yang belum tentu bila akan berakhir.
“Doktor kontrak bimbang potensi karier mereka tersekat. Profesionalisme mereka tidak ke mana. Penghijrahan doktor akan bawa kesan buruk,” katanya di Facebook, hari ini.
Menurut Mohd Puad, MMA telah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen baru-baru ini agar perkara ini dapat perhatian Dewan Rakyat bagi memastikan sistem kesihatan negara tidak runtuh.
“Ramai tidak tahu MMA hantar surat kepada semua Ahli Parlimen. Surat itu bertarikh 23 Jun 2021. Hanya seorang dua MP yang respond. Khaled Nordin Naib Presiden Umno turut buat komen dalam FB beliau.
“Dalam surat itu MMA dakwa sistem kesihatan negara runtuh. MMA sebut tiga perkara pokok yang MP kena perjuangkan segera.
“Tetapi jangan salahkan MP sepenuhnya. Suara mereka tenggelam kerana Parlimen digantung. Kerajaan PN (Perikatan Nasional) mesti bertanggungjawab,” katanya.
Malah, Mohd Puad berkata, Perdana Menteri ,Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak serius menangani isu ini meskipun MMA telah memohon temu janji bertemu dengannya sejak Januari tahun ini.
“Isu yang dibangkitkan oleh MMA amat kritikal. Ia sistem kesihatan negara. Kerajaan akan dituduh halang isu ini dibahas dan dibetulkan.
“Tetapi paling mengejutkan, MMA turut dedah mereka memohon temu janji untuk berjumpa PM sejak Januari 2021. Sudah 6 bulan. Tiada layanan?,” katanya.
Justeru, Mohd Puad menegaskan sudah sampai masanya kerajaan PN mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin bagi membincang isu penting seperti ini di Dewan Rakyat.
“PM 8 patut dengar keluhan mereka. Saranan MMA perlu dibahas segera di Parlimen. Buang ego demi sistem kesihatan negara yang menuju kehancuran. – Malaysiapost

