BIRO Perundangan dan Perlembagaan Bersatu menyokong penuh kenyataan Peguam Negara bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu mengikuti nasihat Jemaah Menteri khususnya Perdana Menteri bagi menentukan tarikh pembukaan persidangan Parlimen.
Biro itu berkata penjelasan Tan Sri Idrus Harun menjawab dan meleraikan kekeliruan serta takrifan dibuat pelbagai pihak berkenaan dengan kuasa menasihati Yang Dipertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Darurat.
“Kenyataan rasmi Jabatan Peguam Negara tersebut telah menepis pelbagai bentuk tohmahan dan dakwaan yang mendakwa wujud krisis perlembagaan sebagai satu dakwaan yang tidak berasas dan tidak berlandaskan kedudukan undang-undang sebenar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jumaat lalu, Idrus dilaporkan berkata kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Idrus berkata Perkara 40(1) dan (1A) memperuntukkan antara lain, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima serta bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan.
Biro itu turut menolak kenyataan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil yang mendakwa bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak memerlukan nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sebagai Ketua Badan Eksekutif berkenaan dengan isu itu.
“Jawatankuasa Perlembagaan dan Perundangan Bersatu adalah senada dengan kenyataan Peguam Negara berkenaan Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Darurat hendaklah dibaca selara holistik.
“Autoriti dirujuk di dalam kenyataan Saudara Isham terhadap kes PP lawan Mohd Amin Mohd Razali misalnya, sebagai hujah bahawa YDPA boleh bertindak tanpa nasihat Perdana Menteri dan Kabinetnya adalah mengelirukan, tidak tepat dan boleh dibezakan,” katanya.

