BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan tidak mempunayi banyak perbezaan.
Beliau berkata, dakwaan itu susulan isu penjualan 16 peratus Sunway Healthcare Holdings Sdn Bhd (Sunway Healthcare) kepada sebuah syarikat berpangkalan di Singapura GIC Pte Ltd (GIC).
“Dulu masa PH, Menteri Ekonomi PH kata penjualan kepentingan kumpulan rangkaian hospital IHH Healthcare Berhad (IHH) bernilai RM8.4 bilion oleh Khazanah kepada Jepun merupakan satu tanda kejayaan pelaburan asing bagi Malaysia.
“Minggu lepas, penjualan 16% dalam Hospital swasta Sunway dengan harga RM750 juta kepada GIC pula dilaungkan PM8 sebagai bukti keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pihak yang membeli Sunway Healthcare berpangkalan di Singapura itu adalah milik penuh Government Investment Corp (GIC).
“Tapi siapakah GIC ini? GIC ialah nama singkat Government Investment Corp – milik penuh kerajaan Singapura. GIC ialah satu daripada dua tabung kekayaan Singapura seperti Temasek Holdings. Mereka ini seperti Khazanah Nasional kita,” katanya.
Justeru, Najib berkata, beliau tidak faham mengapa tindakan menjual hospital Malaysia kepada negara lain adalah satu tanda dan bukti kejayaan negara.
“Kenapalah kita buat benda bodoh seperti bina IHH Berhad yang membeli dan membina puluhan hospital-hospital di Singapura, Malaysia, Turki, India, Hong Kong, China dan Brunei sehingga IHH menjadi konglomerat rangkaian hospital kedua terbesar dalam dunia yang bukan tanda kejayaan, tetapi bukti negara semakin dijahanamkan Najib pula?
“Lalu dijual satu persatu diaorang kepada negara lain selepas PRU14 dan dimegah-megahkan sebagai tanda-tanda kejayaan,” katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, suntikan pelaburan langsung asing (FDI) yang besar dalam Sunway Healthcare, unit Sunway Bhd membuktikan keyakinan terhadap konglomerat dan juga ekonomi Malaysia.
Beliau berkata, ia juga mencerminkan rekod prestasi cemerlang sektor penjagaan kesihatan negara.
Katanya, susulan penularan pandemik Covid-19 dan kesan buruknya ke atas kehidupan manusia di seluruh dunia, kepentingan pelaburan dalam penjagaan kesihatan tidak boleh dipandang remeh. – Malaysiapost

