Sindiket penipuan atas talian tumpas, 10 ditahan

0
1
grafik

POLIS menumpaskan sindiket penipuan atas talian atau e-dagang dengan tertangkapanya 10 suspek dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang, Perak, Kedah dan Kelantan semalam.

Sindiket berkenaan dikesan aktif melakukan penipuan dengan mengiklankan barangan yang tidak wujud di platform e-dagang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata hasil maklumat dan risikan pihaknya menjalankan serbuan di beberapa negeri dan berjaya menahan enam lelaki serta empat wanita berusia 21 hingga 52 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan itu.

“Empat daripada suspek adalah pemilik akaun manakala bakinya adalah pemilik alamat IP yang digunakan bagi menipu mangsa.

“Turut dirampas tujuh telefon bimbit, tiga komputer riba, 10 kad kredit, modem, monitor dan pasport negara Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah pembeli yang berminat dengan barangan yang diiklankan akan dihubungi dan diarahkan berurusan secara terus dengan suspek dan selepas bayaran dibuat barangan dijanjikan tidak diterima.

“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis percaya dengan penahanan itu sekurang-kurangnya 28 kes berkaitan dapat diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata penipuan penjualan secara atas talian atau e-dagang dikesan semakin meningkat dengan statistik menunjukkan pada 2019 sebanyak 3,516 kes direkodkan dan ia meningkat sebanyak 66 peratus tahun lalu kepada 5,845 kes.

Menurutnya, statistik bagi 2021 sehingga 20 Jun lalu pula menunjukkan 4,364 kes penipuan atas talian atau e-dagang dicatatkan.

“Pelbagai inisiatif pembanterasan dan pencegahan sentiasa dilaksanakan oleh polis dan orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati serta sentiasa waspada apabila membuat pembelian barangan secara atas talian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here