Kes tular kanak-kanak OKU diculik, hanya salah faham – Polis

0
1
Polis Di Raja Malaysia

VIDEO tular didakwa membabitkan kes cubaan culik seorang kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) di Saujana Rawang, Gombak, hanya salah faham.

Bagaimanapun, dimaklumkan bahawa kanak-kanak itu merupakan remaja, namun tidak dinyatakan usianya.

Kejadian pada jam 9 pagi itu berlaku, apabila mangsa bersama ibunya yang berusia 54 tahun ke warung di Bandar Country Homes untuk membeli sarapan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, siasatan mendapati remaja berkenaan berjalan seorang diri tanpa pengetahuan ibunya dan menahan sebuah kenderaan yang ketika itu melalui kawasan berkenaan.

Katanya, kenderaan yang dipandu oleh lelaki tempatan tanpa penumpang lain itu berhenti dan membenarkan mangsa menaiki kenderaannya.

“Pemandu kenderaan iaitu seorang lelaki berusia 80 tahun bertindak membenarkan mangsa menaiki kenderaannya dan beranggapan mangsa meminta pertolongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu kereta terbabit tidak pasti arah tuju hendak membawa mangsa kerana mangsa tidak berkata apa-apa.

“Kereta lelaki itu kemudian ditahan oleh beberapa kenderaan dan orang awam di sekitar Saujana Rawang dan menuduh dia membawa lari mangsa.

“Daripada siasatan yang dijalankan, polis mengesahkan tiada elemen culik atau melarikan dengan cara yang salah sebagaimana yang ditularkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam kes ini, wanita tersebut turut membuat penarikan laporan polis yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kes Orang Hilang.

Terdahulu, tular video berdurasi 26 saat mendakwa seorang lelaki melarikan kanak-kanak OKU di Saujana Rawang.

Video terbabit turut memaparkan beberapa orang awam cuba menenangkan seorang lelaki yang sedang mengamuk untuk memukul pemilik kenderaan terbabit.

Manakala seorang wanita pula memukul dan menendangnya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here