Tak kisah negara mana, asal Piala AFC diteruskan

0
1

KETUA jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak bersedia dengan segala kemungkinan mengenai penganjuran saingan Piala AFC 2021 ketika ini.

Penganjuran pertandingan itu menemui jalan buntu bagi mencari tuan rumah selepas Singapura menarik diri.

Bagi Aidil, harapan besar semestinya agar saingan itu tidak dibatalkan memandangkan pasukan sudah menjalani persiapan rapi terutama dalam tempoh saingan Liga Malaysia (Liga M) berehat ketika ini.

Jelasnya, mereka sentiasa bersedia dan tidak kisah ia diadakan di negara mana sekalipun kerana apa yang penting adalah barisan pemain telah bekerja keras memastikan slot ke Piala AFC.

Namun, katanya, segalanya bergantung kepada keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk mencari jalan terbaik.

“Macam mana pun kami tetap profesional dan sabar menunggu keputusan yang akan dibuat itu, selain latihan masih dilakukan seperti biasa.

“Yang penting, saya bersyukur kami masih lagi dapat menjalani latihan cuma tiada apa yang pasti lagi ketika ini, jadi mahu atau tidak, kena sentiasa bersedia kerana apa sahaja boleh berlaku.

“Saya tak kisah mengenai venue atau negara mana yang akan jadi tuan rumah, yang penting Piala AFC tetap berlangsung kerana ini juga untuk pemain yang sudah berusaha untuk layak ke saingan ini,” katanya seperti dilaporkan Malaysian Football League (MFL).

Mengenai perkembangan pasukan yang kini menjalani latihan secara Camp Based Training di Baling, Aidil mahu anak didiknya tidak hanya memikirkan mengenai saingan Piala AFC, tetapi perlu mengambil serius baki aksi Liga Super yang dijangka lebih sengit.

Meskipun ketika ini Kedah selesa di tangga ketiga liga, beliau merasakan kedudukan itu mampu dicabar lawan seperti Selangor FC, Kuala Lumpur City FC atau Penang FC.

“Jika dilihat sekarang, JDT (Johor Darul Ta’zim), Terengganu FC dan Kedah di kelompok tiga teratas, tetapi kita tak boleh lupa mungkin Selangor, Kuala Lumpur atau beberapa lagi lawan lain mampu menggugat.

“Jadi, saya sentiasa ingatkan pemain agar tidak ambil mudah dan yang penting mereka perlu konsisten selain elak sebarang kecederaan dalam tempoh ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here