JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah di negeri itu mulai 1 Julai ini.
JAIS turut berkongsi ketetapan dalam pelaksanaan perkara itu menerusi infografik di Facebooknya, hari ini.
Majlis akad nikah dilaksanakan dengan ketetapan berikut:
- Pelaksanaan dengan kehadiran fizikal pihak-pihak di JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sahaja dari Isnin hingga Ahad.
- Telah mendapat tarikh temujanji bagi majlis akad nikah daripada JAIS dan PAID.
- Kehadiran terhad kepada pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali, individu lain tidak dibenarkan termasuk jurugambar.
- Telah mendapat kebenaran Berkahwin di bawah Seksyen 17 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sebelum 1 Jun 2021 dan keputusan jaringan HIV lelaki dan perempuan masih sah.
- Pengantin lelaki dan pengantin perempuan dan wali wajib jalani ujian RT-PCR Covid-19 dalam tempoh 72 jam dari waktu pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan.
- Pihak-pihak terlibat wajib patuh kepada ketetapan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Selangor berkaitan langkah-langkah keselamatan.
- Jika terdapat mana-mana perlanggaran kepada ketetapan semasa, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh menangguhkan atau membatalkan majlis akad nikah.
- Tindakan tegas sewajarnya akan diambil jika mana-mana individu atau pihak yang didapati gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan semasa yang ditetapkan. – Malaysiapost

