PERSIDANGAN Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.
Perkembangan itu dinyatakan Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid yang dipengerusikan bersama Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menerusi kenyataan hari ini.
Kedua-duanya berkata tarikh tersebut adalah selepas mengambil kira pelbagai perkara dan keperluan.
Menurut kenyataan itu, mengambil kira keadaan semasa di mana Covid-19 masih dalam peringkat pembendungan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Parlimen Malaysia berpendapat langkah spesifik perlu diambil bagi mengelak penularan wabak secara meluas akibat persidangan Parlimen.
Menyedari hakikat itu, katanya, Parlimen Malaysia berhasrat menyediakan kemudahan persidangan alternatif bertujuan mengurangkan risiko penularan Covid-19 ketika persidangan Parlimen kelak untuk pertimbangan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Jawatankuasa Khas telah pun mengkaji dan meneliti aspek teknologi dan metodologi penjalanan persidangan hibrid dan mencadangkan untuk diadakan persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat secara hibrid.
“Secara umumnya, persidangan hibrid melibatkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya 26 Ahli Dewan Rakyat untuk menepati kehendak korum dan 10 Ahli Senator di Dewan Negara.
“Selebihnya mempunyai pilihan sama ada untuk hadir secara fizikal tertakluk kepada apa-apa syarat mesyuarat dikenakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kementerian Kesihatan (KKM) pada masa persidangan atau maya,” katanya.
Menurut kenyataan itu, menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk diadakan persidangan secepat mungkin dan mengambil maklum komitmen dan kuasa Perdana Menteri selaku Ketua Majlis untuk menetapkan tarikh persidangan, Jawatankuasa Khas memberi komitmen untuk melakukan segala terdaya supaya kemudahan persidangan hibrid dapat disediakan seberapa segera.
Namun, katanya, sedikit tempoh diperlukan untuk persidangan Parlimen secara hibrid kerana beberapa persiapan dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan, bekalan serta latihan perlu diperkemas terlebih dahulu untuk memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Hal-hal persiapan itu, menurutnya telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri semalam dan mendapat kerjasama serta galakan yang amat baik.
“Jawatankuasa Khas tersebut menjangka semua aspek perundangan dapat diselesaikan pada akhir Julai sekiranya perkara ini diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan Peraturan Mesyuarat.
“Dengan andaian itu, dicadangkan agar satu Sidang Khas Parlimen diadakan pada awal Ogos tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan Covid-19 yang dikuatkuasakan MKN dan KKM,” katanya.
Menurut kedua-dua Yang di-Pertua, sesi Sidang Khas itu penting untuk memastikan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal-hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai.
Katanya, ia berkaitan perancangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid merangkumi beberapa pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat, takrif-takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab Ahli Parlimen serta perkara teknikal yang berkaitan.
“Sekiranya cadangan ini diterima kedua-dua Dewan, sedikit masa lagi diperlukan oleh Parlimen Malaysia untuk memperoleh bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia ada, ujian (trial-run), pentauliahan dan juga latihan kepada petugas dan juga Ahli-Ahli Parlimen,” katanya. – Malaysiapost
Jawatankuasa Khas tersebut turut dianggotai dianggotai oleh timbalan-timbalan Yang di-Pertua dan Setiausaha kedua-dua Dewan serta pihak urus setia Parlimen Malaysia di bawah pimpinan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia. – Malaysiapost

