Sidang Parlimen Hibrid hanya untuk lepaskan tengkuk

0
2
shahrir samad

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan keputusan untuk mengadakan sidang Parlimen secara Hibrid pada Ogos ini hanya bagi ‘melepaskan tengkuk’.

Beliau berkata, kenyataan berhubung perkembangan itu juga didakwa mengelirukan dan tidak jelas serta perlu diteliti dengan sebaiknya untuk kefahaman.

“Baik punya cerita supaya tengkuk boleh lepas. Hanya dalam para 8 – ‘dicadangkan satu Sidang Khas Parlimen diadakan pada awal bulan Ogos trrtakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan Covid-19 yang dikuatkuasakan MKN dan KKM’

“Lepas tu, – ‘dijangka persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021’. Ni, ada dua sidang ke?,” soalnya dalam hantaran Facebook.

Beliau berkata, adakah bermakna Sidang Khas akan diadakan pada awal Ogos dan persidangan hibrid sekitar akhir Ogos dan minggu pertama September.

“Ke macam mana? Susah juga nak faham bahasa Parlimen ni. Kena baca betul-betul. Itu pun belum tentu faham.

“Apa pula cakap Perdana Menteri sebagai Ketua Dewan? Masih tunggu nasihat Jawatankuasa yang diumum akan ditubuh untuk teliti soal sidang Parlimen? Dah tubuh ke?,” katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid mengumumkan Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.

Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan bersama Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan perkembangan itu menerusi kenyataan hari ini.

Kedua-duanya berkata tarikh tersebut adalah selepas mengambil kira pelbagai perkara dan keperluan.

Menurut kenyataan itu, mengambil kira keadaan semasa di mana Covid-19 masih dalam peringkat pembendungan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Parlimen Malaysia berpendapat langkah spesifik perlu diambil bagi mengelak penularan wabak secara meluas akibat persidangan Parlimen.

Menyedari hakikat itu, katanya, Parlimen Malaysia berhasrat menyediakan kemudahan persidangan alternatif bertujuan mengurangkan risiko penularan Covid-19 ketika persidangan Parlimen kelak untuk pertimbangan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here