“Saya tak dimaklumkan apa-apa” – Nazri Aziz

0
1

Nurul Huda Abhar

AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengakui beliau tidak mengetahui berkenaan resolusi yang dicapai Majlis Tertinggi (MT) Umno bagi menangguhkan pemilihan parti itu.

Beliau mengulas laporan yang memetik Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa resolusi berkenaan dicapai melalui satu pungutan pandangan secara dalam talian.

“Saya tak tahu tentang itu. Tidak dimaklumkan apa-apa.

“Semalam saya berjumpa beberapa ahli Majlis Tertinggi mereka kata belum mesyuarat lagi. Jadi kita tunggu la,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.

Semalam, Malaysiapost melaporkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan terus kekal menerajui parti sehingga 2023 selepas MT mencapai resolusi bagi menangguhkan pemilihan parti itu.

Perkara tersebut dimaklumkan Tajuddin yang berkata majoriti ahli MT Umno bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung bulan ini.

Menurut Tajuddin, Umno telah mendapatkan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung pemilihan Umno.

Pada masa sama, Mohamed Nazri berkata, beliau tidak boleh mengeluarkan komen berkenaan hal tersebut kerana sebarang keputusan rasmi hanya melalui Pejabat Setiausaha Agung Umno.

“Tidak ada keluar lagi di saluran rasmi Umno. Apa-apa keputusan mesti melalui saluran rasmi iaitu Pejabat Setiausaha Agung. Tajuddin bukan suara rasmi Umno,” ujarnya.

Terdahulu, Mohamed Nazri dilaporkan mengakui sudah hilang kepercayaan dengan Ahmad Zahid sebagai Presiden Umno.

Ia selepas tersebar surat Ahmad Zahid yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan bahawa semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Tambahnya, beliau juga tidak mempercayai ketelusan Presiden Umno setelah tular klip audio perbualan antara Ahmad Zahid dan Anwar sebaik sahaja Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Susulan itu, beliau bersama 24 lagi Ahli Parlimen BN mengumpulkan tandatangan surat pengakuan untuk memberi sokongan terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Surat pengakuan itu bagi memberi mandat kepada Hishammuddin sebagai jurucakap sekiranya dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here