MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Menteri Dalam Negeri untuk membuat keputusan dalam tempoh 14 hari mulai hari ini mengenai permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk didaftar sebagai parti politik.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan permohonan semakan kehakiman Pejuang untuk menggesa Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat keputusan berhubung rayuan Pejuang selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) menolak untuk mendaftarkannya, lapor Malaysiakini.
Portal itu melaporkan semasa prosiding dalam talian melalui aplikasi Zoom hari ini, Ahmad Kamal memutuskan bahawa tempoh lima setengah bulan yang lalu sejak Pejuang mengemukakan rayuannya, adalah melebihi masa yang sepatutnya bagi Menteri Dalam Negeri untuk membuat keputusan.
Pada 1 April lalu, Pejuang memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu.
Ini selepas Jabatan Peguam Negara tidak membantah permohonan parti itu. – Malaysiapost

