Parlimen: Agong perlu ikut nasihat PM, penjelasan Peguam Negara tidak lengkap

0
1
isham jalil

PENJELASAN Peguam Negara berhubung Yang di-Pertuan Agong perlu mengikut nasihat Jemaah Menteri khususnya Perdana Menteri bagi menentukan tarikh Parlimen dibuka, tidak lengkap, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Beliau berkata, Peguam Negara telah menyatakan penjelasan panjang lebar untuk memberi justifikasi mengapa Yang di-Pertuan Agong perlu mendengar nasihat Perdana Menteri untuk membuka Parlimen dalam kenyataannya yang baru dikeluarkan sebentar tadi.

Menurut Peguam Negara, Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan berkenaan persidangan Parlimen perlu dibaca bersama Perkara 40 iaitu Yang di-Pertuan Agong perlu mengikut nasihat Jemaah Menteri atau Perdana Menteri walaupun ketika darurat.

Oleh itu, Isham berkata, beliau pasti Peguam Negara amat berpengetahuan dan berpengalaman dalam undang-undang dan Perlembagaan dan dirinya tidak sangkal kredibiliti tersebut.

Namun dalam hal ini, katanya, penjelasan Peguam Negara dalam kenyataannya tersebut tidak lengkap.

“Ada satu perkara yang tidak dijelaskan oleh Peguam Negara iaitu apabila Perdana Menteri sedia ada tidak diyakini oleh YDP Agong yang dia (PM) mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, adakah YDP Agong masih perlu dengar nasihat Perdana Menteri tersebut?

“Berdasarkan kes PP v Mohd Amin Mohd Razali (2000), mahkamah membuat keputusan tidak. YDP Agong hanya perlu dengar nasihat Perdana Menteri yang sah mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Dan kuasa YDP Agong untuk melantik Perdana Menteri (serta kesahihan Perdana Menteri) berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan di atas adalah bersandarkan kepada hemat atau keyakinan YDP Agong yang Perdana Menteri itu mempunyai sokongan atau kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata, jika Perdana Menteri tidak diyakini mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertuan Agong, maka Seri Paduka Baginda boleh melantik Perdana Menteri yang lain.

“Dengan kata lain, Perdana Menteri yang tidak diyakini ada sokongan tersebut hilang kesahihan sebagai Perdana Menteri.

“Apabila ini berlaku, maka nasihat Perdana Menteri mahupun Jemaah Menteri tersebut tidak lagi perlu diikut oleh YDP Agong.

“Apa yang berlaku sekarang ialah sokongan sebenar terhadap Perdana Menteri kini tidak diketahui. Oleh itu kesahihannya juga menjadi persoalan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sokongan dan kesahihan ini perlu dibuktikan sebelum Yang di-Pertuan Agong diminta mendengar nasihat Jemaah Menteri atau Perdana Menteri.

“Jika tidak, adalah tidak adil dan tidak betul jika YDP Agong diminta ikut nasihat Perdana Menteri yang tidak tentu kesahihannya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here