Kerajaan tidak jual LTSAAS

0
2
ltsaas

KERAJAAN tiada perancangan untuk menjual mana-mana hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) kepada pihak lain.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, hartanah lapangan terbang dianggap aset strategik kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih memiliki pajakan selama 60 tahun, iaitu sehingga tahun 2067, ke atas tanah di mana terletaknya LTSAAS buat masa ini.

Menurut kenyataan itu, LTSAAS merupakan salah satu daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB selaras dengan perjanjian operasi di antara Kerajaan dan MAHB yang dimeterai pada tahun 2009.

“MAHB bukan pemilik mana-mana hartanah lapangan terbang tersebut sebaliknya berperanan sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar LTSAAS.

“Sebahagian tanah LTSAAS juga telah dipajakkan (sub- leased) oleh MAHB kepada Subang Skypark Sdn Bhd bagi tempoh 30 tahun (2007-2037), merangkumi pengendalian Terminal 3, tempat letak kereta dan hangarage.

“Sebarang usaha untuk memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan melibatkan penjualan hartanah,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu dan khabar angin mengenai perkara itu.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pihak-pihak yang berbuat demikian,” katanya.

Isu pengambilalihan LTSAAS mula menarik perhatian apabila syarikat pembangunan hartanah, WCT Holdings Bhd yang memiliki Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) dilapor mahu mengambil alih lapangan terbang itu. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/06/25/menteri-kewangan-akan-beri-penerangan-isu-ltsaas/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here