JKM wajar kerjasama dengan parti politik kesan individu susah

0
1

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) wajar membuka pintu seluas-luasnya kepada semua pihak untuk mengadu dan mendaftar sebagai penerima bantuan daripada kerajaan.

Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata ia sekali gus membolehkan kerajaan mengenal pasti golongan yang sedang berisiko menghidap penyakit mental dan mempunyai masalah kewangan.

Untuk mengatasi permasalahan itu dengan efisyen, beliau juga mencadangkan JKM mewujudkan kerjasama dengan Lembaga Zakat serta parti politik yang lebih arif mengenali siapa dan di mana individu atau keluarga yang perlu diberi bantuan segera.

“Kerajaan perlu bersikap terbuka dan menolak sementara sentimen politik bagi memastikan tiada lagi kenaikan kes bunuh diri dan menurunkan kadar pesakit mental sepanjang tempoh PKP ini.

“Kita faham akan kekangan jumlah petugas dari JKM untuk menjalankan tugas di lapangan, maka kerjasama antara parti politik wajar diwujudkan agar sumbangan bantuan yang sepatutnya sampai kepada pihak terlibat.

“Pihak Lembaga Zakat boleh berperanan sebagai pemudahcara kepada JKM sekiranya peruntukan semakin berkurangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mustafa Shah berkata dengan cara itu juga penilaian dan tapisan nama yang mungkin bertindih dapat diselaraskan melalui pegawai kebajikan masyarakat setempat.

“Pengurangan tindakan birokrasi daripada pihak JKM sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung golongan terlibat khususnya mereka yang amat terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi peningkatan kes kemurungan dan tekanan hidup dalam kalangan rakyat susulan kesan pandemik Covid-19.

Malah kes bunuh diri dalam kalangan masyarakat yang berpunca daripada tekanan hidup juga dilaporkan meningkat.

Terbaharu, seorang lelaki yang mengalami kemurungan sejak perniagaannya gagal, maut selepas terjun dari tingkat 10 pangsapuri di Jalan Bagan Ajam, Butterworth, Rabu lalu.

Mangsa dikatakan menaiki lif ke tingkat 10 sebelum duduk melunjur kaki keluar di balkoni kaki lima dan secara tiba-tiba terjun dari bangunan itu.

Hasil soal siasat ke atas isteri mangsa yang juga berusia 26 tahun memaklumkan suaminya mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lalu dan pernah menerima rawatan di sebuah klinik swasta, baru-baru ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here