Nilam Oshman
SERAMAI 696 individu ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu seramai 671 individu dikompaun manakala 25 direman.
“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (163), tidak memakai pelitup muka (156), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (118)dan tiada penjarakan fizikal (107).
“Selain itu, tidak patuh arahan kawalan pergerakan (58), membawa penumpang berlebihan (36), premis gagal patuhi arahan (13) dan lain-lain (45),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, Ops Benteng semalam berjaya menahan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI), dan merampas 14 buah kenderaan darat.
Dalam operasi itu, sebanyak 150 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui 12 aktiviti penglihatan.
Selain itu, Ismail Sabri turut memaklumkan, kerajaan akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan SOP Covid-19 di sektor perkilangan dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan dan SOP yang telah diwartakan.
Katanya, semalam, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan sebanyak 1,716 pemeriksaan ke atas kilang dan 11,417 premis perniagaan.
“Daripada jumlah itu, dua kilang dan 11 premis telah diarahkan tutup,” katanya. – Malaysiapost

