Isham Jalil dipanggil ke Bukit Aman

0
2
isham jalil

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil hari ini dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan di Bukit Aman.

Beliau memaklumkan ia berkaitan satu artikel oleh portal Agenda Daily bertajuk “Penyokong fanatik Najib ugut kudeta jika Parlimen tidak dibuka”.

“Saya kurang pasti siapa pembiaya, penerbit dan penulis Agenda Daily ini, lain yang saya cakap, lain yang mereka tulis dan spin, saya pula yang dipanggil beri keterangan.

“Artikel dan tajuk oleh portal itu berunsur fitnah terhadap saya dan ia dianggap berniat jahat, dan artikel tersebut boleh disabit sebagai penyebaran berita palsu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Isham berkata artikel itu memetik satu video ‘live’ di Facebook beliau minggu lalu yang didakwa telah ‘memusing’ tajuk selain video dan transkrip ucapannya disunting hingga memberi gambaran mengelirukan.

“Beberapa bahagian ucapan saya telah dipotong dan disunting, dan transkrip ucapan disunting dengan ada bahagian dimasukkan dan ada bahagian penting konteks tidak dimasukkan, dan ada perkataan dalam sesuatu ayat dipadam. Ini jelas menggambarkan niat portal tersebut.

“Setelah saya memberi portal tersebut notis dan peluang untuk membetulkan kesalahan dalam tempoh tujuh hari, mereka menukar tajuk artikel tersebut dan meminta maaf secara umum ke atas kekeliruan yang mereka telah sebabkan (walaupun mereka tidakpun mohon maaf kepada saya dan masih banyak kesalahan dan ‘spin’ dengan tujuan mengelirukan dalam artikel tersebut yang tidak dibetulkan).

“Mereka sebenarnya boleh diambil tindakan undang-undang melalui undang-undang sivil (tort) atas kesalahan ‘defamation’, dan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 233 Akta SKMM dan Ordinan Darurat 2021 atas kesalahan berita palsu, selain Seksyen 499 dan 504 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah dan mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan,” katanya.

Bagaimanapun, Isham menambah beliau tidak pasti mengapa polis memanggilnya pula untuk memberi keterangan walaupun tiada laporan dibuat terhadapnya.

Malah, katanya, beliau juga belum membuat laporan polis terhadap Agenda Daily memandangkan notis tujuh hari sebelum ini belum lagi tamat.

“Pada hemat saya, pihak yang mengeluarkan berita palsu dan memfitnah yang sepatutnya perlu dipanggil dan disiasat, bukannya pihak yang menjadi sasaran fitnah dan berita palsu tersebut,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan akan memberi kerjasama kepada polis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here