SEORANG penjawat awam dan lelaki warga Indonesia ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian mencuri dua lembu di kawasan Kesang Pajak di Jasin, Melaka semalam.
Suspek masing-masing berusia 53 dan 42 tahun itu diberkas sepasukan polis dalam dua serbuan di Kelubi, kira-kira jam 4 petang.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mispani Hamdan berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh dua pemilik lembu berkenaan, kelmarin.
Katanya, kejadian kecurian itu berlaku berasingan yang mana pengadu pertama berusia 39 tahun menyedari seekor lembu miliknya jenis kacukan hilang kira-kira jam 5 petang, di Kampung Kemangkang pada 29 Mei lalu.
“Pengadu kemudian mengesan lembu miliknya di kandang milik seorang lelaki dipanggil Najib, namun penternak itu mendakwa, dia telah membeli haiwan terbabit melalui kedua-dua suspek tersebut.
“Kejadian sama berlaku kepada pengadu kedua yang kehilangan seekor lembu jantan di Kampung Kesang Pajak pada 16 April dan haiwan ternakan itu turut ditemukan berada di kandang sama milik Najib,” katanya seperti dilapor Utusan.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapatil, dua haiwan ternakan itu didakwa dijual kepada peraih tersebut pada harga RM1,400 dan RM2,700 tiap seekor.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua suspek melarikan lembu tersebut menggunakan lori dan mereka mempunyai surat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi urusan penjualan lembu kepada peraih.
“Kita percaya kegiatan ini berkait rapat dengan perayaan Aildiladha akan datang dan melibatkan rangkaian lain kerana semalam polis turut menerima laporan mengenai kehilangan tujuh lembu membabitkan kerugian RM15,000.
“Kita akan memperketat pemeriksaan di setiap sekatan jalan raya dan meningkatkan rondaan untuk mengesan sebarang pergerakan mencurigakan kenderaan yang membawa lembu,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek warga Indonesia kini direman selama 14 hari bermula semalam untuk membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63, manakala penjawat awam itu dibebaskan dengan jaminan polis disebabkan mengalami masalah kesihatan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya– Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan.
Foto Kredit: Risda Livestock

