Kenapa melengahkan pembukaan Parlimen? – Zamil Ibrahim

0
1

TIMBALAN Presiden Penyatuan Ummah Malaysia, Zamil Ibrahim mempersoalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana masih melengah-lengahkan dalam membuat keputusan bagi tarikh pembukaan Parlimen walaupun Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sudah memperkenan perkara itu.

Beliau berkata, rakyat telah membangkitkan isu berkenaan, namun kebanyakan analisa daripada peguam, bekas hakim dan orang ramai menjurus ke arah kenapa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba melengahkan pembukaan Parlimen.

“Pelbagai alasan diberikan, namun Majlis Raja-Raja Melayu termasuk Yang di-Pertuan Agong telahpun menitahkan sidang Parlimen disegerakan.

“Baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu mahukan sebuah kerajaan yang stabil, yang boleh tangani isu Covid-19, tetapi saya agak hairan kenapa sehingga ke hari ini tiada satu ayat pun daripada Muhyiddin atau rakannya, yang kita akan segera mengadakan sidang Parlimen.

“Terdetik dihati rakyat dan saya sendiri ingin bertanya adakah Muhyiddin takut. Saya rasa dia seorang anak jantan yang tidak takut akan cabaran. Dia sudah berkecimpung dalam politik sejak saya kecil lagi, ramai rakyat Malaysia kenalnya sejak awal lagi,” katanya menerusi rakaman video.

Bagaimanapun, Zamil berkata, beliau berasa sangsi dengan kenyataan Muhyiddin berkaitan pembukaan Parlimen yang disifatkan tidak teguh dan ianya menjadi cerminan imej Malaysia di mata dunia.

“Tapi akhir-akhir ini kita agak sangsi dengan kenyataan Muhyiddin. Rakyat sangsi, dunia luar sedang memerhati gelagatnya dan rakan-rakan terutama dalam isu membuka sidang Parlimen,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Perdana Menteri membuat keputusan untuk membuka Parlimen dengan segera demi menangani isu Covid-19.

“Beberapa bulan lalu, kita adakan sidang Parlimen untuk meluluskan bajet, ada dua Ahli Parlimen terpaksa memakai baju PPE demi untuk datang mengundi agar diluluskan bajet tersebut.

“Jadi, boleh adakan sidang Parlimen demi untuk meluluskan bajet, tetapi kenapa kali ini tidak boleh?

“Kini hampir semua Ahli Parlimen sudah dicucuk vaksin, malah saya difahamkan termasuk kakitangan di Parlimen dan terdapat dinding halangan di setiap tempat duduk, tapi kenapa tidak boleh membuat sidang Parlimen?,” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here