Minyak masak: PM dijangka umum berita gembira buat rakyat

0
1

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan mengumumkan berita gembira berhubung isu harga minyak masak kepada rakyat dalam masa terdekat.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPKK) dalam kenyataan ringkas di Facebook rasminya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah mengadakan mesyuarat menerusi sidang video bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini.

“Agenda mesyuarat berkenaan ialah berkaitan syor Kementerian dalam usaha menstabilkan harga minyak masak tidak bersubsidi di pasaran yang menjadi keresahan rakyat.

“Sehubungan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan mengumumkan berita gembira kepada rakyat dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua Kementerian juga turut membincangkan lima program Khas KPPK bagi membantu rakyat di bawah inisiatif Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sebelum ini, Kerajaan digesa mencari jalan untuk mengawal kenaikan harga minyak masak dalam botol supaya ia tidak membebankan pengguna.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata mereka maklum mengenai harga minyak mentah meningkat, namun ketika rakyat berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan sekatan pergerakan penuh, perkara itu perlu dipertimbangkan.

Katanya, perlu difahami ketika ini rakyat ada yang tertekan kerana hilang pekerjaan, kurang pendapatan maka kerajaan perlu kurangkan beban ini dengan melihat kepada harga barang keperluan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here