Kegagalan berterusan kerajaan tambah derita rakyat – Najib

0
1
najib razak

“SANGAT sedih dan kecewa betul saya melihat rakyat sudah berbulan-bulan dalam kesempitan, kesusahan, ketakutan dan kegelisahan akibat kegagalan bersambung kegagalan kerajaan,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkali-kali memberi jaminan tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh atau lockdown namun gagal.

“Kemudian, kerajaan jangka kes Covid akan turun ke dua angka menjelang bulan Mei supaya kita boleh balik kampung raya. Gagal.

“Kerajaan kata darurat akan menyelamatkan nyawa dan ekonomi. Sangat gagal,” katanya menerusi Facebook.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan turut berjanji akan prihatin dan membantu rakyat dalam kesusahan, dalam masa sama Perdana Menteri terpaksa mengaku kerajaan tidak banyak wang lagi.

“Manakala Menteri Kewangan pula mengaku bahawa bantuan sukar untuk ditambah kerana hasil kerajaan jatuh disebabkan ekonomi teruk serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sudah dimansuhkan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan menyatakan kali ini mereka akan tegas dan mengumumkan Total Lockdown namun gagal juga.

“Ianya selepas seminggu sehingga seorang Menteri PN terpaksa mengaku Total Lockdown itu sebenarnya tak Total manakala Menteri kanan paling kanan terpaksa mengaku tempat kerja merupakan penyumbang kluster Covid,” katanya.

Beliau berkata, PKP 2.0 sudahpun gagal, begitu juga PKP 3.0 tiada perubahan dengan peningkatan kluster baharu termasuk jumlah kes kematian.

“PKP 2.0 sudah gagal setelah PKP 3.0 terpaksa dibuat kurang dua bulan selepas PKP 2.0 berakhir. PKP 3.0 yang sudah 45 hari lamanya serta Total Lockdown yang nampaknya akan dilanjut buat kali kedua pun masih tak berjaya.

“Biarpun dah begitu lama Rakyat dikurung, sebanyak 24 kluster lagi baharu dikesan pada hari ini. Jumlah kes terkumpul Covid cecah 711,006 hari ini dengan 4,637 kematian (83 nyawa terkorban lagi hari ini).Tapi yang dibuat kerajaan pula ialah langkah sama yang telah berulang kali gagal,” katanya.

Tambahnya, langkah kerajaan kini dilihat gagal dan rakyat seperti tidak penting.

“Lagi gagal, lagi diulangi. Seolah-olah nyawa manusia dan kesempitan, kesusahan, ketakutan dan kegelisahan Rakyat yang berbulan-bulan lamanya tak bermakna.

“Sampai bila kegilaan ini akan tamat?,” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here