PENYANYI rap Caprice yang juga penganjur Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menganjurkan majlis berkenaan di sebuah hotel pada 29 April lalu.
Selain Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, turut dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang adalah enam individu lain membabitkan selebriti yang hadir dalam majlis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata secara keseluruhan sebanyak RM19,000 kompaun dikeluarkan semalam bagi kes pelanggaran SOP penganjuran majlis terbabit.
Menurutnya, kertas siasatan kes berkenaan telah dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya semalam dengan dua keputusan untuk tindakan.
“Nurin Afiqah Zulkifli, Nur Heliza Helmi, Nur Hazwani Helmi, Ahmad Faizal Yaakob, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid dan Siti Nur Iman Alysaa Sahabuddin dikompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang apabila gagal memakai pelitup muka sewaktu berada di hotel Westin, Bukit Bintang, Kuala Lumpur untuk Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021.
“Ariz Ramli daripada Syarikat Rindu Raudah Sdn Bhd selaku penganjur dikompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal memastikan tetamu memakai pelitup muka di sepanjang majlis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha memerangi wabak Covid-19.
Sebelum ini, tular di media sosial gambar Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 yang diadakan pada 29 April lalu didakwa melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam gambar yang tular itu, menunjukkan antara artis yang hadir dalam majlis berkenaan adalah Caprice, Ashraf Muslim, Heliza Helmi, Iman Troye, Mawar Rashid dan PU Hafiz.
Susulan itu polis merakam keterangan 12 individu termasuk penganjur dan selebriti yang hadir dalam majlis berkenaan. – Malaysiapost

