PENAMBAHBAIKAN prosedur operasi standard (SOP) sesi persekolahan secara bersemuka akan diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum sekolah dibuka kelak.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kementerian sudah merangka SOP baharu yang akan dilaksanakan pada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Kita memang ada perancangan menambah baik SOP daripada (berdasarkan) apa yang kita pelajari (sesi persekolahan sebelum ini), namun perancangan ini tertakluk kepada situasi pada waktu itu…kita tunggu dan lihat.
“Bila sampai masanya…katalah sekolah nak dibuka, maka kita akan jelaskan apa penambahbaikan yang kita ingin laksanakan di sekolah,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya mengenai PPN bagi sektor pendidikan hari ini.
Menurutnya, pematuhan SOP di sekolah berjalan dengan baik sebelum ini, namun kebanyakan kes penularan Covid-19 dikesan berlaku di asrama.
“Kedudukan dalam kelas dan SOP berjalan dengan baik, (namun) cabarannya adalah di sekolah asrama ini…data-data menyumbang kes-kes berlaku di sekolah (banyak kes berlaku di asrama),” katanya.
Beliau berkata, kes yang menular di sekolah harian pula boleh dianggap terkawal kerana pematuhan SOP yang baik.
“Sejujurnya dalam konteks sekolah harian, kebanyakan jangkitan (berlaku) di rumah di mana ayah dan ibu bekerja (mendapat jangkitan)…apabila anak ke sekolah ada berlaku jangkitan dalam kelas.
“Dalam konteks tertentu…cuma dua tiga murid dijangkiti, sebagai contoh…dalam kelas ada 40 orang murid, wabak itu tidak merebak dan menjangkiti semua semua (murid dalam kelas itu),” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan KPM mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya pelajar kelas peperiksaan dibenarkan kembali ke sekolah lebih awal.
Menurutnya, bagi menyokong permohonan itu, KPM juga memohon kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) supaya pemberian vaksin kepada guru dan pelajar kategori itu dapat dipercepatkan. – Malaysiapost

