‘Amanat Hadi’ : Harus beri penjelasan elak keliru

0
3

NAIB Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali mengharapkan penjelasan sewajarnya berkenaan dakwaan isu fatwa Amanah Hadi dipadam di laman sesawang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau yang juga bekas Pemuda PAS berkata, perkara tersebut penting khususnya setelah PAS mengambil sikap yang berbeza berbanding dahulu menerusi kerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini.

“Sebagai seorang bekas ahli PAS yang pernah didoktrin dengan ‘Amanat Hadi’ untuk menjustifikasi perlawanan dengan Umno, perkara seumpama ini pastinya membuatkan saya tertunggu-tunggu ulasan rasmi dari Jakim.

“Bahkan, Majlis Fatwa Kebangsaan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama sepatutnya turut memberikan penjelasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sheikh Umar berkata, berdasarkan pengalaman peribadinya, Amanat Hadi telah memberi kesan besar khususnya dalam arena dakwah serta siyasah tanah air.

“Sebagai orang muda dalam PAS lebih 10 tahun dahulu, kami memahami bagaimana fenomena sembahyang dua imam, tidak makan haiwan sembelihan mereka yang bersetuju dengan pemimpin Umno, memperbaharui semula akad pernikahan dan sebagainya.

“Amanat Hadi turut memberi impak terhadap budaya takfiri dikalangan masyarakat kita,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan rakyat berhak diberi penjelasan, khususnya ahli dan bekas ahli PAS serta mereka yang pernah menerima tarbiyah PAS.

“Seharusnya mendapat penjelasan berkaitan duduk letaknya perkara ini bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.

Semalam, Malaysiapost melaporkan pengurusan baharu Jakim) dikesan memadam ‘Amanat Haji Hadi’ yang diwartakan sebagai haram dari sistem semakan fatwa jabatan itu.

Difahamkan fatwa itu diarah dikeluarkan dari pautan Sumber Maklumat al-Ahkam al-Fiqhiyyah (E-SMAF) sejak Mac lalu dan semakan terkini mendapati ia memang sudah tiada lagi dalam sistem berkenaan.

Menurut sumber, memang sebelum ini ‘Amanat Haji Hadi’ yang difatwakan haram ada dalam E-SMAF, namun pengurusan baharu Jakim mengarahkan ia dikeluarkan daripada sistem berkenaan.

Amanat Haji Hadi berlaku pada 1981 di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu, dalam ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini Presiden PAS.

Ucapan beliau ketika itu mengundang kritikan kerana dianggap memecah-belahkan umat Islam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here