KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) tidak boleh lagi menggunakan sebarang helah dan dalih untuk mengadakan sidang Parlimen dengan segera.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sehubungan itu mendesak sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari bermula hari ini, sama seperti ketetapan Biro Politik Umno.
“Umno Kelantan mendesak kerajaan tanpa sebarang helah dan dalih untuk segera mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari, menggunakan kaedah peraturan yang termaktub dalam Ordinan Darurat 2021 sebagaimana disuarakan rakyat.
“Umno Kelantan menyokong penuh pernyataan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar Parlimen segera bersidang.
“Bagi Umno Kelantan, kesuburan demokrasi perlulah dihormati semua pihak sejajar prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan yang kita junjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang menjelaskan, sidang Parlimen adalah platform penting untuk membincangkan hal negara dan rakyat di kala keyakinan rakyat kian terhakis dengan tindak-tanduk kerajaan dalam memerangi Covid-19.
“Sidang Parlimen ini amat mustahak untuk disegerakan bagi membolehkan suara, harapan dan pelbagai tuntutan rakyat yang dalam keresahan dan kesempitan di kala pandemik Covid-19 dapat disuarakan dan dibahaskan seterusnya diangkat secara rasmi oleh wakil-wakil yang mereka pilih melalui sistem demokrasi berparlimen.
“Rakyat perlu tahu dan mendapat penjelasan secara tuntas daripada kerajaan bagi setiap perbelanjaan yang banyak menimbulkan persoalan tentang ketirisan, seterusnya memberi ‘check and balance’ kepada setiap tindakan yang meragukan sepanjang tempoh darurat,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Jazlan menegaskan, Umno Kelantan juga berpandangan Proklamasi Darurat perlu ditamatkan selewat-lewatnya 1 Ogos 2021 kerana jelas gagal menangani dan melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19, sebaliknya lebih digunakan sebagai ‘political move’ pihak-pihak tertentu. – Malaysiapost

