PKP 3.0 tidak dapat kawal kes sporadik – Dr Noor Hisham

0
1
dr. hisham

KES sporadik dan kes tidak bergejala Covid-19 terus dilaporkan meningkat di Lembah Klang, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh kini memasuki minggu ketiga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes harian Covid-19 dilihat masih pada paras tinggi melebihi 4,000 kes sehari dan peratusan kes sporadik juga membimbangkan.

Menurutnya, sebanyak 398,846 kes sporadik dikesan daripada 578,105 kes Covid-19 direkodkan dari 1 Januari hingga 19 Jun lalu dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 151,725 kes diikuti Kuala Lumpur (44,517) dan Sarawak (40,889).

“Kes sporadik yang dikesan dalam komuniti namun tidak dapat dikaitkan dengan kluster sedia ada, ia dikesan melalui saringan di tempat kerja, saringan komuniti atau saringan kes bergejala.

“Lebih membimbangkan kebanyakan kes sporadik tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Lembah Klang mencatatkan jumlah kes sporadik tertinggi membabitkan
tiga daerah tertinggi iaitu Petaling dengan 3,905 kes, Hulu Langat (2,783) dan Klang (2,482).

“Walaupun PKP 3.0 diumumkan pada 12 Mei 2021 dilihat telah berjaya mengawal peningkatan kes kluster, namun kes sporadik masih tidak menunjukkan penurunan ketara,” katanya.

Menurutnya, kes sporadik memberi kesan kepada Lembah Klang yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan sukar dikesan kerana pesakit tidak mempunyai gejala.

“Oleh itu penting bagi semua mengambil maklum perkara ini dan melindungi diri serta keluarga masing-masing daripada bahaya Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here