
LAPAN lagi lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) termasuk Penjara Sungai Udang, Melaka bermula Rabu ini susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD itu membabitkan kawasan di Sarawak, Sabah, Melaka dan Perak
Menurutnya, di Sarawak PKPD adalah membabitkan Bahagian Mukah iaitu Rumah Panjang Gabriel Bujang anak Ikau, Sungai Lepah, Tanjung Manis dan Kuarters Pekerja Balingian Power Generation, Jalan Sibu-Mukah.
“Sabah membabitkan dua lokaliti di Tawau, iaitu Blok 11 Kampung Titingan dan Batu 7, Jalan Tinagat, selain di Kampung Ejuk, Kota Belud dan Kampung Warisan, Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi terkini kes Covid-19 di Penjara Sungai Udang (kecuali Kuarters Penjara), Melaka Tengah, Melaka terdapat 157 kes positif daripada 262 ujian saringan yang dijalankan.
“PKPD di Perak pula adalah membabitkan kawasan Batang Padang, iaitu Kilang Sawit Cahaya Muda yang turut termasuk kuarters pekerja.
“Sehingga kini KKM telah melakukan 281 ujian saringan dan 97 daripadanya dilaporkan positif Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut,” katanya.
Menurutnya, selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di semua lokaliti berkenaan berkuat kuasa 23 Jun sehingga 6 Julai ini.
Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu adalah untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti terbabit dan prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. – Malaysiapost
