
KESAL rumahnya rosak disondol gajah liar yang mencari makan, seorang lelaki di Thailand di wilayah Hua Hin membuat luahan perasaan di laman Facebooknya, baru-baru ini.
Memetik laporan portal berita The Nation, lelaki itu memaklumkan kawasan rumahnya sering menjadi tumpuan gajah liar mencari makan setiap hari.
Rachadawan Phungprasopporn, berkata kali terakhir kejadian itu berlaku, seekor gajah dewasa menyondol dinding dapurnya sehingga berlubang ketika sedang mencari makanan di kawasan sekitar.
Susulan itu, aduan berkenaan menjadi tular di media sosial, Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemeliharaan Tumbuhan dan agensi kerajaan lain di wilayah tersebut sedang mengadakan perbincangan mengenai pampasan pemilik rumah atas kerosakan yang berlaku.
“Sebagai permulaan, agensi kerajaan akan membaiki rumah mangsa secepat mungkin,” kata jabatan itu.
Jabatan itu menambah bahawa pegawai telah memberi kesedaran mengenai cara-cara mencegah bahaya dari serangan gajah liar di daerah tersebut. – Malaysiapost
