Leka main snuker ketika PKP, 10 lelaki ditahan

0
1

SERAMAI 10 individu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat snuker di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor semalam selepas pemeriksaan mendapati kesemuanya mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Serbuan dijalankan sepasukan Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri yang menjalankan Op Noda dan Op Pematuhan Covid-19, pada jam 10.15 malam terhadap sebuah premis yang disyaki menjalankan perniagaan snuker tanpa lesen dalam tempoh PKP di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata pihaknya menahan 10 lelaki berusia 18 hingga 40 tahun yang sedang leka bermain snuker.

Menurutnya, hasil semakan mendapati dua daripada yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kesemua yang berada di premis berkenaan ditahan termasuk juruwang yang juga penyelia premis serta pemain.

“Individu yang ditahan juga didapati tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal ketika berada di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan itu didapati melakukan kesalahan dan disiasat mengikut Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan 2021).

“Polis turut merampas dua set bola snuker (44 biji), empat kayu snuker, empat kapur, satu kunci kawalan jauh dan wang tunai sebanyak RM275 yang dijadikan bahan bukti.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here