
JAWATANKUASA Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sedang mengkaji memberi kelonggaran kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19 termasuk kebenaran merentas negeri.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata kelonggaran itu akan melibatkan nilai ambang tertentu sebagai syarat peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara.
Katanya, ia terutamanya melibatkan jumlah populasi di negara ini yang sudah menerima vaksin.
“Kebebasan kepada penerima dos lengkap vaksin sedang dikaji sebuah jawatankuasa kerja teknikal di bawah JKJAV, dianggotai pakar kesihatan dan sains.
“Mereka akan melihat daripada aspek klinikal dengan mengambil kira data dari negara lain dan memutuskan tahap ambang sesuai untuk kita memberi kebebasan tertentu kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19.
“Jawatankuasa kerja teknikal ini akan membuat satu syor kepada JKJAV berhubung kebebasan yang boleh diberikan,” katanya dalam sidang media Pelan Pemulihan Negara secara hibrid di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata syor berkenaan kemudian akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diperhalusi dan diumumkan dalam masa terdekat.
Katanya lagi, antara contoh yang boleh dilihat membabitkan garis panduan kelonggaran oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).
“Ini termasuk juga kebebasan merentas negeri kepada mereka yang sudah menerima dos lengkap vaksinasi yang akan diumumkan,” katanya.
Beliau berkata, sijil digital vaksinasi atau pasport vaksin dalam aplikasi MySejahtera akan digunakan oleh penerima dos lengkap untuk membolehkan mereka menikmati kebebasan tertentu itu.
“Kita juga berunding dengan negara lain untuk mengiktiraf sijil digital vaksinasi masing-masing. Rundingan dengan Singapura hampir tamat.
“Namun, selagi negara belum mencapai matlamat 80 peratus populasi divaksinasi, kita perlu terus patuhi SOP atau jangkitan berisiko kembali melonjak dan tidak dapat mencapai sasaran Pelan Pemulihan Negara,” katanya. – Malaysiapost
