WANITA PKR yakin menang sembilan lagi kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tegas Ketuanya Fuziah Salleh.
Ahli Parlimen Kuantan itu berkata, jumlah itu tidak termasuk 11 kerusi Parlimen yang telah dimenangi oleh pergerakan itu dalam pilihan raya sebelum ini.
“Sekarang Wanita PKR punya 11 kerusi dalam Dewan Rakyat. Ahli Parlimen daripada Wanita PKR ada 11 orang, satu telah khianat (Ampang)… tak apa kita akan ganti.
“Insya-Allah para perwakilan, pemerhati sekalian kita sediakan sembilan lagi Ahli Parlimen, bukan calon tapi Ahli Parlimen kerana target Wanita PKR ialah PRU15 nanti kita akan menang 20 Ahli Parlimen Wanita,” katanya dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional Tahunan PKR melalui dalam talian hari ini.
Beliau yakin bahawa calon Wanita PKR yang bakal mewakili 20 kerusi tersebut bakal menang daripada semua kerusi yang PKR tandingi dalam PRU akan datang.
“Kalau tengok, pembahas wanita (dalam Kongres Nasional Tahunan PKR) itulah level yang kita ada dan kita yakin boleh menang 20 kerusi daripada semua kerusi yang PKR bertanding dan 20 Ahli Parlimen wanita ini akan mewakili Wanita PKR selepas PRU15 akan datang,” katanya.
Beliau turut teruja apabila mengetahui Cabang PKR Ampang kini mempunyai Ranting paling banyak iaitu 102 dan membuktikan pengkhiatanan bekas pemimpin PKR di kawasan itu tidak memberi kesan kepada akar umbi parti.
“Tahniah kepada Cabang PKR Ampang. Ini menunjukkan bahawa nak khianat… khianatlah, nak keluar..keluarlah apa kami kisah..kami akan terus memperkasakan parti.
“Inilah semangat yang ditundukkan di akar umbi dan saya yakin bukan sahaja di Ampang, Gombak di tempat-tempat lain kita ada semangat yang sama dan akan buktikan dengan ambil semula kerusi-kerusi (Parlimen) yang telah dikhianati,” katanya. – Malaysiapost

