KPDNHEP mohon MKN benarkan premis jual alat tulis dibuka

0
1

PENJUALAN alat tulis di pasar raya dan premis seumpamanya yang menyokong keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu dibenarkan dalam tempoh sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membenarkan seksyen alat tulis di pasar raya dan premis lain dibuka.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) peka dengan rungutan guru dan ibu bapa yang berdepan kesukaran mendapatkan kelengkapan serta keperluan alat tulis untuk digunakan anak-anak dalam sesi pembelajaran sepanjang PKP 3.0.

“Isu ini sudah saya suarakan dua hari lalu dan semalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyuarakan perkara sama kerana ada keperluan bagi sesi PdPR ini.

“Kita yakin MKN akan mempertimbangkan permohonan ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tajin, Kuala Berang, hari ini.

Rosol berkata, KPDNHEP turut memantau keberadaan barangan atau apa-apa isu membabitkan kepenggunaan bagi menjamin keperluan dan kepentingan pengguna.

Berhubung kes sebuah restoran dikompaun di Selangor, penguatkuasa KPDNHEP mengambil tindakan kerana pemilik premis tidak memohon kebenaran beroperasi daripada Sistem Pengurusan Pintar COVID-19 (CIMS) 3.0 yang ditadbir Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Semakan mendapati mereka tidak memohon CIMS di bawah MITI.

“Memang berlaku sedikit kesesakan (permohonan) di MITI dan KPDNHEP memberi masa dua hingga tiga hari untuk mereka beroperasi tanpa kelulusan dengan syarat ada membuat permohonan.

“Dalam kes ini, pemilik restoran didapati tidak membuat permohonan CIMS sedangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) menyatakan sektor yang dibenar beroperasi sepanjang PKP 3.0 ini perlu berbuat demikian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here