KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) perlu menghentikan naratif bahawa darurat untuk menggantung demokrasi dan Parliament telah berjaya menangani Covid-19.
Perkara itu dinyatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana katanya jika berjaya, rakyat tidak ‘dikurung’ sehingga sembilan bulan pada tahun ini.
Malah katanya, jika darurat berjaya mengekang wabak tersebut, tak perlulah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, PKP 3.0, PKP 3.1 dan Total Lockdown berfasa yang dibuat bersambung-sambung
“Jika berjaya, mana mungkin Malaysia satu-satunya negara dalam dunia yang buat darurat untuk gantung Parlimen dengan alasan nak lawan Covid?
“Majoriti negara dalam dunia dah lama buat sekiranya ini adalah langkah yang berjaya dan paling tepat.
“Jika berjaya, tak akan penggunaan katil ICU berbulan-bulan melepasi kapasiti. Malaysia tidak akan jadi juara Covid ASEAN dari segi saiz penduduk dan berkali ganda lebih tinggi berbanding negara-negara jiran,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ahli Parlimen Pekan itu menambah, jika darurat berjaya mengekang Covid-19, Majlis Raja-Raja tidak perlu membuat persidangan khas berkenaan darurat dan keadaan Covid-19 negara.
“Jika berjaya, Majlis Raja-Raja tidak secara spesifik titah darurat tidak perlu disambung dan Parlimen perlu bersidang secepat mungkin.
“Takkan Majlis Raja-Raja titah untuk hentikan langkah yang “berjaya” dan memberi manfaat pada Rakyat?
“Tapi kalau masih tak puas hati, kerajaan boleh lihat data dan sains setelah sarurat dilaksanakan lima setengah bulan lamanya.
“Data dan sains jelas membuktikan Darurat gagal segagalnya,” katanya. – Malaysiapost

