Polis akan panggil Takiyuddin

0
1

POLIS akan memanggil Datuk Seri Takiyuddin Hassan, jika mempunyai maklumat terperinci berhubung kenyataannya yang didakwa derhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak menolak pihak berkuasa akan memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang) itu untuk dirakam keterangan.

“Saya sudah maklumkan sesiapa sahaja yamg melakukan penghasutan yang boleh menyebarkan sesuatu kurang senangnya apabila ada laporan yang dibuat, polis akan siasat.

“Ini kerana kadang kala saya nak kamu (wartawan) bagi detail (perincian) kepada saya, kadang-kadang kamu semua cakap tidak detail menyebabkan orang lain dikira salah.

“Jadi bila ada detail, kita akan siasat apa yang sebenarnya dia cakap,” katanya seperti dilaporkan portal Malaysia Gazette hari ini.

Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong mengadakan perbincangan khas dengan Raya-Raja Melayu mengenai situasi semasa negara berhadapan Covid-19.

Selepas pertemuan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan, persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Majlis Raja-raja Melayu juga mengeluarkan kenyataan menyokong pendirian Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

Bagaimanapun, Takiyuddin dalam reaksinya berkata kenyataan Agong itu tidak disertakan tarikh tertentu.

“Agong pun tidak menitahkan bulan berapa, tetapi secepat mungkin. Perdana Menteri kita kata pun bulan 9 atau 10. Sekarang kita dah hampir penghujung bulan 6, bulan 7, 8, 9 pasti akan diadakan,” katanya.

Semalam, Pemuda Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap Takiyuddin berhubung kenyataannya itu di Ibu Pejabat Polis Daerang (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here