CALON peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 pada akhir bulan depan.
Perkembangan itu dikongsi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang memaklumkan suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech tersebut akan dijalankan di sekolah.
“Selepas tiga minggu, mereka akan menerima dos kedua,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Terdahulu beliau hadir Mesyuarat Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan yang turut disertai Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.
Semalam Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata pelajar kelas peperiksaan khususnya yang bakal menduduki SPM dan STPM 2021 akan diberi keutamaan mendapatkan vaksin Covid-19.
Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau berkata cadangan itu dipersetujui Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang dipengerusikan Khairy.
Sebelum ini, Khairy pada sesi webinar anjuran Oxford and Cambridge Society of Malaysia memaklumkan, CITF akan memberi keutamaan vaksin kepada kumpulan pelajar itu terlebih dahulu.
Selain itu Khairy menjelaskan, keutamaan vaksin turut diberi kepada kira-kira 350,000 pelajar dan 47,000 guru yang terbabit dalam kelas peperiksaan itu.
Setakat ini, lebih 90,000 orang guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin. – Malaysiapost

