Permohonan saman fitnah Steven Sim terhadap Pensyarah UUM ditolak

0
1

Mahkamah Tinggi Georgetown hari ini menolak writ saman difailkan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim terhadap Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Peguambela, Harris Mohan Abdullah, berkata beliau membuat bantahan ke atas writ saman yang difailkan Steven menerusi peguamnya RSN Rayer dalam pengurusan kes berkenaan pagi ini kerana mendapati ia mengalami kecacatan.

“Dalam pengurusan kes pagi ini, Pendaftar Mahkamah Tinggi Georgetown bersetuju dengan bantahan saya bahawa writ itu cacat kerana salah kod.

“Ia menyebabkan Steven Sim, yang diperintahkan membayar kos kepada Dr Kamarul, menarik balik writ itu dengan kebebasan untuk memfailkannya semula pada masa depan. Selainnya Writ tersebut juga tidak ada teste.

“Ini adalah satu kemenangan moral kepada Dr Kamarul di dalam meneruskan saman kepada pihak-pihak yang memfitnah beliau,” katanya.

Pada 20 April lalu Steven Sim memaklumkan dalam Facebooknya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kamarul susulan dakwaan fitnah dan tohmahan yang didakwa merosakkan nama beliau sebagai seorang Ahli Parlimen.

Dalam writ yang dikemukakan kepada Kamarul pada 19 Mei lalu, Steven menyebut Kamarul telah membuat fitnah kepada beliau dan parti DAP.

Sebelum ini, Kamarul juga telah menyaman Steven Sim kerana telah membuat fitnah kepada beliau.

Ketika dihubungi, Dr Kamarul mengesahkan perkara itu tetapi tidak mahu mengulas lanjut mengenainya kerana beranggapan perkara-perkara teknikal ini bukanlah perkara besar yang perlu diajukan isu.

“Saya sedar beberapa pihak yang saya saman sering menghebahkan kononnya saya kalah kes dan terpaksa membayar kos kepada mereka sedangkan ia hanyalah merujuk kepada bantahan awal pada peringkat pengurusan kes sahaja.

“Sebenarnya beberapa pihak yang saya saman juga turut terpaksa membayar kos kepada saya bila bantahan awal mereka ditolak oleh mahkamah tetapi saya tidak mahu membesar-besarkan hal ini kerana ia hanyalah perkara teknikal.

“Saya yakin dengan kemampuan peguambela saya di dalam kes ini, Harris Mohan Abdullah, untuk mengendalikan kes ini jika dan bila ia difailkan semula, begitu juga dengan peguambela saya di dalam kes-kes lain, Faidhur Rahman Abdul Hadi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here