JAS bongkar kegiatan kilang proses baja kompos cemar air, bau

0
1

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Selangor membongkar kegiatan sebuah kilang yang menjalankan aktiviti membuat baja organik kompos susulan operasi bersepadu di Hulu Selangor, semalam.

Keadaan kilang yang tidak terurus dan terdedah menyebabkan air hujan bercampur dengan sisa-sisa pokok dan bahan organik yang menghasilkan air hitam berbau busuk.

Menerusi kenyataan di Facebooknya, JAS Selangor memaklumkan air hitam tersebut seterusnya mengalir keluar ke longkang premis sehingga menyebabkan pencemaran air dan bau.

Katanya, kilang yang mendapat kelulusan untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) atas faktor perkhidmatan perlu, didapati tidak memiliki sebarang lesen daripada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

“Operasi kilang turut dijalankan tanpa kelulusan Laporan EIA daripada JAS.

“Sehubungan itu, Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) ke atas peralatan proses telah dikenakan di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 untuk siasatan lanjut,” kata kenyataan itu.

Operasi selama tiga jam itu dijalankan hasil maklumat awam.

Ia turut melibatkan MDHS, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan polis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here