Cemar sungai, kilang proses ayam dikompaun RM50,000

0
1

BADAN Kawal Selia Air hari ini mengenakan kompaun RM50,000 terhadap pengusaha kilang memproses ayam kerana mencemarkan sumber air di Sungai Punggor, Alai, Melaka.

Agensi itu dalam kenyataan berkata tindakan diambil susulan aduan Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman dan agensi lain, semalam.

Katanya, pemeriksaan mendapati ada pelepasan air sisa berwarna kelabu dipercayai dilepaskan terus dari kilang pemprosesan ayam berkenaan ke alur air dan mengalir ke sungai berkenaan.

“Kita juga mendapati pencemaran ini berpunca pembuangan sisa industri oleh kilang memproses kotak telur yang membawa sisa dari kilang itu dan dibuang di sungai berkenaan.

“Sampel bahan cemar yang diambil di Sungai Punggor mempunyai sifat yang sama dengan sampel di lokasi pembuangan sisa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kertas siasatan akan dibuka dan sampel yang diambil akan dihantar ke makmal untuk ujian.

Katanya, selain itu, pemeriksaan dilakukan juga di kilang di kawasan Perindustrian Elkay, Lipat Kajang, Jasin yang disyaki menghasilkan sisa berkenaan.

“Syarikat berkenaan diminta melaksanakan kerja pembersihan sepanjang 600 meter dari premis sehingga ke aliran Sungai Punggor dan perlu membuat pelupusan bahan cemar dengan menanamnya di atas tanah milik mereka.

“Ini kesalahan berulang oleh syarikat sama dan pernah dikenakan tindakan atas kesalahan pelepasan air sisa kumbahan dari rumah pekerja yang tidak menepati spesifikasi populasi setara,” katanya.

Menurut kenyataan itu, syarikat berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 39(a) Enakmen Sumber Air (Negeri Melaka) 2014 dan jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here