TITAH Majlis Raja-Raja Melayu yang berpendapat tiada keperluan darurat disambung selepas tamat 1 Ogos ini dilihat sebagai keputusan muktamad.
Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari, berkata Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara semalam, turut membabitkan beberapa pegawai tertinggi negara termasuk Ketua Setiausaha Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
Menurutnya, ia dilihat sebagai usaha Raja-Raja mendapatkan pandangan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam usaha menangani Covid-19.
“Pendekatan menangani Covid-19 boleh dilakukan seperti sekarang termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta kompaun terhadap pihak yang ingkar prosedur operasi standard (SOP).
“Ia kerana masih ada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Menurutnya, seperti diketahui umum Proklamasi Darurat adalah untuk menangani Covid-19 dan bukannya untuk gantung Parlimen, Perlembagaan atau proses demokrasi.
“Namun krisis Covid-19 tidak selesai dan langkah tertentu yang perlu dilaksanakan untuk menanganinya tidak diambil dan rakyat mempersoalkan darurat yang dikatakan untuk menangani wabak itu tetapi keadaan semakin buruk.
“Sebagai contoh beberapa isu mengenai bantuan kepada rakyat yang tidak boleh dilakukan walaupun adanya Ordinan Darurat, maka benarlah jika rakyat berpendapat darurat bukan untuk tangani Covid-19 tetapi hanya untuk kepentingan politik,” katanya.
Menurutnya, Parlimen mempunyai rutin tersendiri dan tidak boleh digantung lebih daripada enam bulan kerana kerajaan perlu menjawab persoalan rakyat yang disuarakan melalui Ahli Parlimen dan semua pihak perlu faham ini bukan berpolitik, tetapi proses sebenar demokrasi berparlimen.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sama jika kerajaan negeri ingin mengadakan sidang DUN ia boleh dilaksanakan sama juga pembubarannya ia boleh dibubar kerana tidak terikat dengan Persekutuan.
“Jika DUN bubar, maka SPR wajib membuat pilihan raya negeri,” katanya.
Beliau berpendapat apabila SPR dipanggil sama dalam perbincangan khas Majlis Raja-Raja Melayu ia mempunyai ‘makna’ yang besar iaitu jika sudah sampai peringkat Parlimen tidak lagi boleh buat keputusan maka pilihan raya boleh dilaksanakan.
“Bila titah sudah mengatakan Parlimen boleh dibuka, ini bermakna apa sahaja yang boleh dilakukan dalam Parlimen, boleh dilaksanakan kerana Agong atau Raja-Raja tiada kuasa untuk menghalang proses Parlimen
“Bermakna undi tidak percaya boleh diadakan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pembubaran Parlimen juga boleh dibuat bagi mewujudkan kerajaan yang kuat iaitu kerajaan yang ada majoriti untuk memerintah
“Kita juga boleh interpretasi titah Raja-Raja Melayu mengenai pentingnya kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat sebagai pemilihan Perdana Menteri yang ada sekarang adalah satu kesilapan,” katanya.
Menurutnya, jIka pilihan raya diadakan, SPR kena kaji bagaimana ia dapat dilaksanakan dalam norma baharu pandemik Covid-19 kerana ada negara yang mengadakan pilihan raya dalam suasana Covid-19 seperti Singapura dan Switzerland. – Malaysiapost

