KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Barisan Nasional (BN) harus memberi fokus kepada empat isu utama berkaitan rakyat apabila Parlimen bersidang semula.
Beliau yang juga Pengerusi Pemuda BN, berkata perkara itu juga sudah disuarakan kepada Presiden Umno merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dimaklumkan kepada Ahli Parlimen parti.
Katanya, antara empat perkara itu termasuk moratorium automatik tanpa caj atau faedah tambahan secara pukal termasuk kepada golongan M40, B40 dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Selain, tambahan bantuan khas kepada rakyat yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau berkata, selain itu kemudahan pengeluaran i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 juga perlu diberikan kerajaan bagi membantu rakyat.
“Kita juga meminta kerajaan memberi Intervensi/diskaun ke atas pembayaran asas seperti bil internet, bil eletrik dan pembelian keperluan asas serta barangan makanan mereka yang terpaksa kekal di rumah akibat PKP berpanjangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menggesa kerajaan supaya akur terhadap titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang meminta Parlimen segera bersidang.
“Persidangan Parlimen ini sangat penting demi kepentingan dan kebajikan rakyat yang sedang kesempitan,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.
Ia bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan semalam dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahasakan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan. – Malaysiapost

