UMNO Bukit Bintang bersetuju dengan saranan Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar desakan Parlimen kembali bersidang mesti hadir dengan tekad untuk membincangkan pengurusan pandemik, bukan menjayakan agenda peribadi mana-mana pihak.
Ketuanya, Zainul Rafiq semua pihak sama ada dari kerajaan atau pembangkang mesti jujur dan ikhlas untuk bersama-sama memikirkan cara penyelesaian dan jalan terbaik bagi menangani krisis Covid-19.
“Saya senada dengan penulisan Datuk Seri Hishammuddin. Fokus utama harus diberikan kepada kesihatan serta kebajikan dan ekonomi rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zainal juga bersetuju dengan istilah ‘Politik Tanpa Batas’ yang disarankan Hishammuddin dan menyifatkannya tepat pada masanya.
“Ini bukanlah cara berpolitik yang sepatutnya, jika kita benar-benar mementingkan dan mahu mendahulukan rakyat seperti yang kita laung-laungkan selama ini.
“Memang ada perkara kurang memuaskan hati dan perlu diperbaiki, namun dalam keadaan sekarang, apa yang lebih penting untuk kita sama-sama berganding bahu agar krisis yang sedang dihadapi ini dapat kita tangani bersama,” katanya.
Terdahulu, Hishammuddin dalam satu kenyataan hari ini, berkata desakan politik agar Parlimen dibuka semula tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi.
Beliau berkata seruan agar Parlimen kembali bersidang tidak boleh dijadikan alat pemuas nafsu politik sesetengah individu.
Usaha tersebut, katanya, bukan baru kerana telah dilihat berulang kali selama bertahun-tahun termasuk terbaharu pada September 2020.
“Mereka terlalu taksub pada angka yang ‘kukuh, hebat, meyakinkan’ – sehinggakan, ia meresap ke dalam pelbagai senario serta cuba meyakinkan semua orang bahawa mereka bersatu, dengan harapan dapat meneruskan agenda untuk kembali berkuasa,” katanya. – Malaysiapost

