RM626.33 juta kutipan zakat diagihkan MAIWP tahun lalu

0
3
Orang ramai membayar zakat fitrah di Jalan TAR

SEBANYAK RM626.33 juta kutipan zakat diagihkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bermula Januari hingga November tahun lalu kepada golongan memerlukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata jumlah itu tidak termasuk lebih RM0.4 bilion yang diagih ke seluruh Malaysia melalui dana zakat, infaq, wakaf, latihan kemahiran, baik pulih rumah dan lain-lain oleh agensi-agensi agama di bawah tanggungjawabnya sejak bermula pandemik Covid-19.

Menurutnya, perbincangan pihaknya dengan MAIWP baru-baru ini mendapati data golongan asnaf di Wilayah Persekutuan semakin bertambah namun kutipan zakat juga meningkat seiring dengan agihan.

“Pecahan agihan membabitkan dakwah dan pembangunan ummah sebanyak RM142.94 juta kepada 515 institusi; kebajikan sebanyak RM113.24 juta kepada 124,603 penerima; pendidikan sebanyak RM52.56 juta kepada 56,068 penerima dan perubatan sebanyak RM21.39 juta kepada 3,854 penerima.

“Agihan turut membabitkan perlindungan RM9.28 juta kepada 4,350 penerima dan ekonomi sebanyak RM1.51 juta kepada 520 penerima,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, agensi agama di peringkat Persekutuan akan terus bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri bagi memastikan segala bantuan dapat disalurkan sesegera mungkin secara terus kepada kelompok sasar.

“Berdasarkan Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan Perdana Menteri, kita semakin menghampiri fasa yang diharapkan.

“Jumlah pemberian vaksin juga merekodkan jumlah tertinggi setakat ini melebihi 200,00 dos. Teruskan doa, munajat dan ikhtiar kita melawan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here