‘Pelan mengaku kalah’ pada pandemik Covid-19 – PH

0
2
Pejabat PKR

PAKATAN Harapan (PH) menyatakan rasa terkejut apabila mendapati Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri semalam hanyalah siri fasa tanpa strategi lengkap mahupun langkah yang jelas, bersepadu dan menyeluruh untuk mengatasi pandemik Covid-19.

Majlis Presiden PH menerusi kenyataan berkata pelan tersebut tidak menyebut untuk memberi bantuan secukupnya kepada rakyat serta syarikat-syarikat yang sedang menderita, memulihkan ekonomi dan menyegerakan kebangkitan semula Malaysia.

Sebaliknya, ia didakwa hanyalah satu ‘pelan mengaku kalah’ pada pandemik Covid-19.

“Malah lebih mengejutkan ialah siri fasa ‘pelan’ tersebut kononnya berasaskan sains dan data, namun realitinya data yang dimaksudkan tidak telus, tidak terbuka dan tidak terperinci untuk diteliti orang ramai dan mudah termanipulasi seperti yang pernah kita saksikan sebelum ini.

“Oleh itu, kami berpandangan Perdana Menteri telah mempersembahkan satu ‘pelan’ tanpa apa-apa pelan yang sebenar.

“Ini adalah satu pengumuman tergesa-gesa yang cuba mengalih pandangan rakyat dan keadaan kepimpinan yang terumbang-ambing, hilang arah dan gagal berkali-kali untuk mengawal pandemik ini dengan baik,” kata kenyataan itu.

Majlis Presiden PH menambat, jika diikut juga ‘pelan’ itu, akhirnya yang akan dipersalah dan menjadi mangsa sekiranya pandemik tidak dapat dikawal adalah rakyat.

Kenyataan tersebut ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim: Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here