HASRAT pelari pecut negara, Mohd Haiqal Hanafi menyertai kejohanan Olahraga Kosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan tidak kesampaian apabila disahkan positif Covid-19.
Atlet berusia 22 tahun itu disahkan positif Covid-19 ketika ujian calitan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Almaty, awal pagi semalam.
Seorang lagi jaguh pecut, Khairul Hafiz Jantan menjadi kontak rapat kepada Mohd Haiqal walaupun keputusan ujian calitannya disahkan negatif, lapor Harian Metro.
Berikutan itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu berkata kedua-dua atlet tidak dibenarkan menyertai kejohanan di Kazakhstan yang dijadual bermula 19 hingga 20 Jun ini.
Beliau memaklumkan, Mohd Haiqal kemungkinan dijangkiti ketika bertemu ahli keluarganya sebelum ini.
Selain dua atlet itu yang perlu menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), terdapat beberapa individu kontak rapat dengan mereka turut diarah berbuat demikian.
“Setakat ini, keadaan Mohd Haiqal tiada masalah namun KOM tetap memantau perkembangannya.
“Mohd Haiqal tidak kena (Covid-19) di Majlis Sukan Negara (MSN) kerana sekarang ini dia berlatih di Johor,” katanya.
Mohd Haiqal dan Khairul Hafiz sepatutnya menyertai rakan mereka yang lain untuk beraksi di kejohanan Olahraga Kosanov Memorial di Almaty.
Kejohanan itu memberi peluang kepada atlet utama memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan Sea Hanoi selepas saingan Terbuka Malaysia yang dijadual pada 11 hingga 13 Jun terpaksa ditunda susulan peningkatan kes Covid-19. – Malaysiapost

