Isham dakwa Muhyiddin bukan PM yang sah

0
1
isham jalil

PELANTIKAN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri mungkin tidak sah dari segi undang-undang, dakwa Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Isham Jalil.

Beliau berkata demikian susulan tular di media sosial surat arahan daripada Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri kepada penjawat awam di Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menggunakan nama Mahiaddin dalam urusan surat-surat rasmi kerajaan.

“Kalau kita lihat, semalam ada berita tular berkenaan surat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, dan saya lihat surat itu adalah arahan kepada penjawat awam di JPM supaya menggunakan nama Tan Sri Mahiaddin. Bukan lagi Tan Sri Muhyiddin dalam surat-surat rasmi.

“Mengikut maklumat yang saya dapat, mengikut laporan akhbar dan media, surat itu betul,” katanya dalam video di Facebook, hari ini.

Isham mendakwa, berdasarkan maklumatnya, surat yang dikeluarkan itu mendapat arahan daripada Ketua Setiausaha Negara dan atas nasihat Peguam Negara agar semua penjawat awam dan agensi kerajaan menggunakan nama Tan Sri Mahiaddin, bukan lagi Tan Sri Muhyiddin.

“Jadi bila arahan ini keluar, maksudnya ini perkara penting dan kritikal sebab Tan Sri Muhyiddin atau Mahiaddin, beliau tahu ada kesannya dan bukan sewenang-wenangnya boleh diterima daripada nasihat Peguam Negara,” katanya.

Dakwa Isham lagi, perkara pertukaran nama Perdana Menteri adalah untuk mengelak terjadi lagi seperti satu kes mahkamah yang ditolak hakim kerana surat arahan tangkapan yang ditandatangani oleh Muhyiddin tidak sah.

Katanya, mahkamah terpaksa mengakui surat penangkapan itu tidak sah kerana secara teknikalnya nama samaran tidak sah digunakan dalam surat rasmi yang melibatkan urusan kerajaan.

“Tan Sri Muhyiddin ketika itu bukan Menteri Dalam Negeri yang sah apabila beliau menandatangani surat itu.

“Persoalannya sekarang, kalau Muhyiddin ketika itu bukan Menteri Dalam Negeri yang sah, maka adakah sekarang ini beliau adalah Perdana Menteri yang sah bila watikah lantikan Yang Di Pertuan Agong itu menggunakan nama Tan Sri Muhyiddin. Jadi sebab itu persoalan ini timbul.

“Saya minta kerajaan jelaskan perkara ini sama ada surat pelantikan dahulu menggunakan nama Muhyiddin atau Mahiaddin.

“Dan semasa angkat sumpah, Perdana Menteri bersumpah dengan nama Muhyiddin atau Mahiaddin?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here