Wanita mangsa rogol inspektor didakwa edar pil kuda, syabu

0
1
Polis Di Raja Malaysia

WANITA yang dipercayai menjadi mangsa rogol seorang inspektor polis, didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas dua tuduhan mengedar pil kuda dan memiliki syabu.

Ibu dua anak berusia 28 tahun itu dituduh bersama bekas suami berumur 29 tahun di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli, namun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama mengedar pil kuda atau metamphetamine dalam anggaran berat kasar 61 gram di sebuah rumah di Kampung Bunut Payong di Kota Bharu, jam 4.20 petang, 4 Jun lalu.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama, serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki syabu dianggar seberat 13.6 gram pada masa, tarikh dan di lokasi sama yang didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan seksyen berkenaan, pesalah boleh dihukum penjara antara dua hingga lima tahun dan sebat antara tiga hingga sembilan bagi lelaki.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 Ogos depan.

Pembantu rumah wanita dan bekas suaminya yang bekerja sebagai buruh itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Kota Bharu di rumah wanita terbabit pada 4 Jun lalu.

Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai penyiasat berpangkat inspektor ditahan bagi membantu siasatan berkait kes rogol terhadap seorang tahanan wanita.

Kejadian didakwa berlaku di pejabat suspek ketika soal siasat berkaitan kes tangkapan jenayah dadah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here