KKM lulus dua vaksin Covid-19 satu dos pelalian

0
1

DUA vaksin Covid-19 yang hanya memerlukan satu dos pelalian diluluskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-359 yang bersidang hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata vaksin yang diluluskan pendaftarannya secara bersyarat untuk kegunaan semasa bencana itu adalah Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector) dan Janssen Covid-19 Vaccine keluaran Johnson & Johnson.

Menurutnya, vaksin Convidecia adalah keluaran CanSino Biologics Inc, China dengan pemegang pendaftaran produknya adalah Solution Biologics Sdn Bhd, manakala vaksin Janssen keluaran Johnson & Johnson yang diberi kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (EUL) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Selain itu, PBKD meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech kepada golongan berumur 12 tahun dan ke atas.

“Comirnaty, sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari 2021, digunakan bagi tujuan imunisasi aktif kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, walaupun tambahan indikasi itu telah diluluskan, Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi selaras dasar sedia ada yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

Beliau berkata, KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

“Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran PICK,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here