SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) akan terus bergerak aktif dalam membantu meringankan beban rakyat di Johor yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Sultan Ibrahim bertitah sejak April tahun lalu ribuan kotak barangan keperluan makanan kurniaan baginda disampaikan menerusi YSIJ kepada golongan memerlukan di pelbagai daerah.

“Hampir setiap minggu, bantuan makanan disampaikan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan, antaranya yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.
“Pada masa sama, syarikat-syarikat besar yang berkemampuan dari segi kewangan turut digalakkan untuk membantu rakyat,” titahnya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Pada Khamis lalu, Kerajaan Johor juga telah memperuntukan RM2 juta menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad bagi bantuan program bakul makanan bernilai RM100 melibatkan 20,000 rakyat dengan diselaraskan oleh YSIJ. – Malaysiapost

